SELANGOR FC
BERITA

Nooa Laine #isRed

Feb 09, 2024 - FAS

Nooa Hamzah Laine, atau lebih mesra dengan panggilan Nooa, pemain warisan Finland-Malaysia, hari ini diumumkan secara rasmi sebagai pemain baru Gergasi Merah secara pemain pinjaman buat setahun (dengan pilihan untuk dibeli secara tetap) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.

Perjalanan Nooa dalam kancah bola sepak profesional bermula di Ykkönen, divisyen kedua Liga Finland bersama kelab tempat kelahirannya, Jyväskylän Jalkapalloklubi atau lebih dikenali sebagai JJK Jyväskylä pada tahun 2018. Beliau berjaya membuat 15 penampilan dan menjaringkan satu gol dalam tahun pertama karier profesionalnya.

Beliau kemudian telah bersama Klubi 04, pasukan pembangunan HJK Helsinki pada musim 2019 dan 2020. Nooa telah menambah 26 penampilan serta 5 gol dalam rekod peribadinya untuk dua musim bersama kelab tersebut.

Musim seterusnya menjadi satu titik batu loncatan kepada Nooa apabila beliau diserap naik ke pasukan utama Seinäjoen Jalkapallokerho, atau lebih dikenali sebagai SJK Seinäjoki selepas beraksi dalam 16 perlawanan bersama skuad pembangunan kelab tersebut. Karier pemain tengah ini terus meningkat naik selepas mendapat peluang beraksi sebanyak 64 perlawanan dengan empat jaringan gol bersama SJK Seinäjoki di Veikkausliiga, divisyen 1 Liga Finland selama tiga musim dari 2021 sehingga 2023.

Pada tahun 2022, beliau telah menerima panggilan kebangsaan dan membantu skuad Malaysia B23 layak ke Piala Asia B23 di Qatar semasa pusingan Kelayakan menentang Filipina dan Thailand di mana Nooa telah diturunkan sebagai kesebelasan utama untuk kedua-dua perlawanan tersebut. Aksi cemerlangnya bersama skuad B23 kebangsaan telah berjaya menambat hati Ketua Jurulatih negara, Kim Pan Gon dan beliau akhirnya membuat penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya semasa perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan pada 23 Mac 2023.

Sebelum pemain berusia 22 tahun ini menyarung jersi Malaysia, Nooa juga pernah beraksi bersama pasukan muda bawah 15 tahun, 16 tahun dan 17 tahun negara kelahirannya, Finland.

Menurut Nooa Laine, beliau memilih Selangor FC kerana tertarik dengan hala tuju kelab, “Selangor FC telah lama menghubungi saya untuk menjelaskan peranan dan kepentingan khidmat saya buat pasukan. Sejak dari itu, saya juga telah banyak mendengar perkara-perkara positif berkenaan budaya dan hala tuju kelab dari rakan-rakan sepasukan skuad kebangsaan Malaysia. Sejujurnya, saya gembira dengan keputusan untuk bersama mereka kerana saya yakin Selangor FC akan menjadi kelab yang membantu saya mencapai kejayaan bersama.”

"Antara kelebihan yang saya miliki adalah saya mampu mengimbangi perlawanan di bahagian tengah padang, saya juga boleh menjaringkan gol dari pelbagai sudut  dan  boleh bermain di pelbagai posisi untuk membantu pasukan musim ini. Bagi saya, bermain di bawah jagaan Tan Cheng Hoe bermaksud saya akan belajar banyak perkara untuk mengembangkan lagi bakat saya sebagai seorang pemain dan ia juga akan membantu pasukan di masa akan datang, kerana saya yakin dia merupakan seorang jurulatih yang hebat,” jawab Nooa selepas ditanyakan berkenaan kelebihan yang beliau miliki dan pandanganya tentang Ketua Jurulatih pasukan.

Apabila ditanya tentang penyesuaian diri, Nooa dijangka tidak mengalami sebarang masalah kerana sudah sering bermain dan berlatih di sini serta sudah mengenali ramai rakan sepasukan dari skuad B23 kebangsaan, “Ini bukan kali pertama saya di sini, saya pernah bermain dan berlatih di Malaysia sebelum ini. Saya juga mengenali ramai rakan sepasukan dari skuad B23 kebangsaan. Mereka pasti membantu saya untuk cepat menyesuaikan diri dengan pasukan”, ujar Nooa dengan tenang.

Beliau juga tidak sabar untuk beraksi di hadapan para penyokong Gergasi Merah, “Saya pernah   melihat beberapa video dimana Selangor FC mempunyai ramai penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan-perlawanan sebelum ini, ia buat saya teruja untuk beraksi di hadapan anda semua. Semoga kita berjumpa tidak lama lagi.”

Selangor FC berharap Nooa Laine dapat memperkuatkan jentera tengah pasukan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2024/2025 dan saingan ACL 2 2024. Selamat datang, Nooa!

Nooa Laine merupakan pemain terbaru kelima yang diperkenalkan untuk membarisi skuad utama selepas Selangor FC memperkenalkan pemain pertahanan, Umarbek Eshmurodov, penyerang Chile, Ronnie Fernández, pemain sayap, Alvin Fortes dan penjaga gawang muda, Azim Al Amin baru-baru ini.

Terus ikuti media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2024/2025.

Demi Kebanggaan!